Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam dan bertahajud:
“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]
2. Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan spiritual membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.
3. Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.
4. Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.
Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana amalan orang yang soleh.